Select Page

30,000 pelajar tidak duduki SPM, Anwar sindir Radzi tak pantau

Anwar ketika bercakap pada Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan JPA di UKM, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berikutan seramai 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang meminta laporan dan kajian teliti untuk dilakukan berkaitan perkara terbabit.

“Ini berlaku selepas pasca Covid-19 dan keadaan politik yang tidak tentu arah selain tidak ada dasar yang jelas.

“Bagaimana ada Menteri Pendidikan ketika itu, dan tak boleh pantau anak-anak yang tak ambil peperiksaan.

“Hanya selepas Fadhlina jadi Menteri, perkara ini dibongkar. Ini adalah masalah tetapi dalam kempen, dia (Radzi) tak sebut perkara ini,” katanya pada Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Menurut Anwar, jumlah tersebut adalah membimbangkan dan merupakan masalah yang serius buat pendidikan negara.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan.

Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022 bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar. – KOSMO! ONLINE