Select Page

Acah bagi duit sebelum belasah, samseng tibai gelandangan guna besi pemukul besbol di Klang

Acah bagi duit sebelum belasah, samseng tibai gelandangan guna besi pemukul besbol di Klang

SEKUMPULAN lelaki bertindak di luar kawalan apabila memukul dan membelasah beberapa individu gelandangan di sekitar kawasan berhampiran pasar raya Billion, Pelabuhan Klang, Selangor pada Sabtu.

Ketika kejadian, pemuda berkenaan terlebih dahulu dilihat mendermakan wang kepada gelandangan terbabit sebelum memukulnya dengan menggunakan besi pemukul besbol.

Kelakuan itu yang dipercayai turut dilakukan di beberapa buah kawasan lain melihatkan beberapa lagi gelandangan mengalami nasib sama apabila dipukul tanpa belas kasihan oleh lelaki terbabit.

Dirakamkan sendiri oleh si pelaku, rakaman itu tular di laman Facebook dan hangat diperkatakan sejak Sabtu.

 

Menerima lebih 30,000 jumlah tontonan, rata-rata mengecam perbuatan kumpulan tersebut dan menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera.

“Aku tengok pun geram, apa masalahnya gelandangan itu ada buat kacau ke, ingat ni gurauan boleh dibuat main ke apa,” kata Ahmad Nazree.

“Sendiri buat, sendiri yang rakam, memang minta masuk lokap la dia orang ni, tunggu video tular sampai ke tangan polis mesti kena tangkap tak lama lagi ini,” kata Yazid Omaruddin.

“Golongan macam ini memang tak boleh dibiarkan, polis tolong la siasat tangkap semua yang terlibat,” tambah Nadia Qistinaa89.

Dalam pada itu, kaunter aduan Balai Polis Pelabuhan Klang menerima satu laporan berkaitan insiden itu daripada seorang wanita warga tempatan berusia 43 tahun kira-kira pukul 3.30 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong menerusi kenyataannya pada Ahad berkata, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Setakat ini, polis sedang menjalankan usaha untuk mengesan mangsa bagi mengetahui kejadian yang sebenar.

“Pada masa yang sama, usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan atau mana-mana balai berhampiran,” katanya. — Majoriti