Select Page

Adakah Dr Mahathir sudah lupa? – Anthony Loke

Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: DAP menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan menggugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri itu kononnya DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen akan mengugut Anwar untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi kepada tanpa agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu tindakan sangat tidak bertanggungjawab.

“Saya dengan tegas mengulangi pendirian DAP yang semua Ahli Parlimen DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan pada masa sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau menzahirkan rasa amat kecewa dengan dakwaan Dr Mahathir itu, sambil menyatakan bahawa DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum.

“Apakah beliau sudah lupa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?

“Sejak negara mencapai kemerdekaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman.

“Adakah Dr Mahathir lupa berkenaan visi beliau untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020?

“Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?” katanya.

Katanya, Dr Mahathir tak perlu bimbang, Malaysia akan sentiasa kekal sebagai anggota Pertubuhan Negara Islam (OIC) di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa jika DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan ketika ini, kerajaan Anwar akan jatuh.

“Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP, khusus menjadi Tanah Melayu negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular – negara yang tidak ada agama rasmi,” dakwa Dr Mahathir di Facebook beliau.

Disiarkan pada: Julai 3, 2023 @ 9:51pm
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.