Select Page

Ahli Dewan Diraja Selangor tuntut Sanusi mohon maaf secara terbuka Oleh Norzamira Che Noh

Julai 14, 2023 @ 6:48pm
bhnews@bh.com.my

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu Tan Sri Ambrin Buang; Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Datuk Emran Kadir yang hadir membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini, hari ini.

Emran berkata, kenyataan Muhammad Sanusi disifatkan satu penghinaan kepada Institusi Diraja Selangor kerana membabitkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.

“Tuanku (Sultan Selangor) boleh melantik siapa saja untuk menjadi Menteri Besar Selangor, asalkan pemimpin itu mendapat majoriti tertinggi undi dan mengikut Perlembagaan.

“Tuanku melantik (individu yang) tepat dan tidak patut dipersoalkan.

“Kenyataan (Muhammad Sanusi) seperti Menteri Besar yang dilantik tidak betul (layak), ini kami anggap kenyataan yang tidak wajar dan menghina Institusi Diraja Selangor.

“Kami tuntut permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin,” katanya ketika ditemui.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Menerusi video tular itu, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin.