Select Page

Aksi Superman, Langgar Lampu Merah, Remaja Lelaki Maut Rempuh Kereta

[Video] Aksi Superman, Langgar Lampu Merah, Remaja Lelaki Maut Rempuh Kereta

Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah kereta di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu berhampiran Astaka Seagate di Bayan Lepas, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal, berkata dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Muhammad Akid Mat Rozi, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederan parah manakala pemandu kereta Proton Persona iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun cedera di tangan kiri.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Batu Maung telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kereta yang sedang membelok ke kanan di laluan berkenaan.

“Kemalangan itu berlaku ketika cuaca hujan dan pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut serta saksi bebas yang melihat kemalangan tersebut bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Rizal mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Video kemalangan itu turut tular di media sosial dan berdasarkan video berdurasi 16 saat tersebut, mangsa dilihat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ dan sedang bersaing bersama seorang rakannya.

Sumber: BERNAMA