Select Page

Bapa buat tak tahu, anak cuma dapat 6A

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 6A 2B 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meluahkan rasa sedih apabila bapanya kecewa dengan keputusan peperiksaannya itu dan tidak mengucapkan tahniah.

Pelajar tersebut yang mendapat 6A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil meluahkan rasa kecewanya itu di laman sosial.

“Bapa aku kecewa gila muka dia waktu aku tunjuk dan dia tak kata ‘congratulation’ pun. Tak apa sedih sikit saja.

“Alhamdulillah, ‘only Allah know how I am struggle’,” ujarnya.

Keputusan peperiksaan pelajar tersebut.

Sementara itu, menerusi perkongsian guru pelajar tersebut, Cikgu_Anep di laman Twitter miliknya berkata, dia berasa sedih apabila melihat perkongsian bekas pelajarnya itu.

“Sedih betul saya tengok ‘story’ bekas pelajar saya ini,” katanya menerusi ruangan kapsyen.

Menurut Cikgu Anep, pelajar tersebut merupakan seorang pelajar yang mempunyai keperibadian yang terpuji.

“Seorang pelajar yang baik. Menghormati guru, rajin belajar, sentiasa beri kerjasama dalam kelas. Bagus saja keputusan dia tapi itulah,” katanya.

Tambahnya, Cikgu Aneb menasihati ibu bapa di luar sana supaya sentiasa menghargai usaha hasil titik peluh anak-anak.

“Ibu bapa, tolonglah, saya merayu. Jadilah pemangkin anak-anak bukan menjatuhkan,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, terdapat orang ramai yang turut berkongsi pengalaman serupa dengan pelajar tersebut.

“Dapat 4A untuk UPSR, kena bebel untuk satu yang dapat B dan dapat 3A untuk PMR tiada ucapan tahniah.

“Masih kena bebel kata saya patut dapat lagi banyak A. Sejak daripada hari itu, saya berhenti untuk buat mereka bangga. Putus asa,” kata seorang pengguna Twitter.

Perkongsian tersebut tular di Twitter sehingga memperoleh 377,000 tontonan, 1,653 ulang ciap dan 4,910 tanda suka. – KOSMO! ONLINE