Select Page

‘Calon anak beranak, tak sepatutnya dijadikan isu’ – Bibi Sharliza

Sinar Harian
Julai 23, 2023 11:30 MYT

Bibi Sharliza berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana calon dipilih dari kalangan yang terbaik selain berdasarkan jawatan yang disandang dalam parti. – Gambar/ Sinar Harian

PORT DICKSON: Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid mengakui sudah menjadi perkara biasa dalam pilihan raya ada calon yang ditampilkan dalam kalangan ahli keluarga.
Menurutnya, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana calon dipilih dari kalangan yang terbaik selain berdasarkan jawatan yang disandang dalam parti.

“Biasalah kalau BN saja semua tak boleh. Apa yang peliknya kerana Tun Dr Mahathir Mohamad pun pada Pilihan Raya Umum ke-15 bertanding Parlimen di Kedah bersama anaknya, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz).

“Ada lagi contoh lain misalnya sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang mana saya berpendapat soal calon anak beranak ini tak sepatutnya dijadikan isu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini i pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung pemilihannya sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dan anaknya, Mohd Najib Mohd Isa sebagai calon DUN Bagan Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, itu bukan bermakna yang UMNO sudah ketandusan calon.
Malah beliau berpendapat yang Najib sepatutnya sudah diangkat sebagai calon ketika dalam Pemuda lagi tetapi ketika itu masih belum ada rezeki.
“Kebetulan pula rezeki dia bertanding dengan saya pada PRN ini dan bagi saya ia bukan jadi isu,” katanya.

Bibi Sharliza yang berasal dari Kuala Pilah pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi dari 2004 hingga 2008, manakala Najib yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Port Dickson baharu kali pertama bertanding pilihan raya. – Sinar Harian