Select Page

Curi unsur nadir bumi: ‘Saya alu-alukan saman Sanusi’- Saifuddin

Abd Hadi Che Awang
Julai 16, 2023 19:16 MYT

Saifuddin berkata banyak lagi persoalan yang perlu dijawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu. – Gambar fail
BANDAR BAHARU: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengalu-alukan tindakan undang-undang termasuk laporan polis dan saman daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE).
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, banyak lagi persoalan yang perlu dijawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berhubung isu berkenaan terutama melibatkan kaitan Perbadanan Menteri Besar (MBI) dengan individu-individu yang telah ditahan sebelum ini.

Sanusi juga jelasnya tidak boleh dengan begitu mudah menafikan MBI terlibat dengan kejadian kecurian itu, termasuk mendakwa perbadanan itu hanya dikompaun kerana merupakan pemegang permit atau lesen ladang hutan di kawasan berkenaan.

“Fakta yang (saya sebutkan sebelum ini) tidak berubah… tidak ada syarikat yang mendapat lesen eksport, jadi mineral di Kedah yang diperolehi secara tidak mengikut tertib dan peraturan… dibawa sampai ke Pelabuhan Klang.
“Yang ditangkap itu termasuk warga asing, dan warga asing ini ada yang bekerja atau (mempunyai) visa kerja (yang) dikeluarkan daripada perakuan MBI.
“Warga China (yang ditahan) ini, dia masuk sebagai visa profesional, dia hanya boleh masuk dengan visa itu kalau MBI beri perakuan, dan di antara yang ditangkap termasuk yang dapat visa yang diperakukan MBI, jadi itu yang ditangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar, Bandar Baharu pada Ahad.
Terdahulu, Sanusi mendakwa akan mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis dan saman terhadap kenyataan dikeluarkan Saifuddin berhubung isu kecurian REE.
Menurut beliau, maklumat yang disampaikan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu dalam satu ceramah di Guar Cempedak, Kedah malam tadi, didakwa tidak benar dan bermotifkan politik.
Tambahnya, MBI tidak dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan seperti didakwa, sebaliknya ia disebabkan perbadanan itu adalah pemegang permit atau lesen ladang hutan di kawasan berlakunya kecurian terbabit.