Select Page

Dijanji gaji lumayan, kerja syarikat pelaburan… Rupanya pasangan pengantin ‘dijual’ rakan sekelas jadi mangsa pemerdangan manusia

Ahad, 25 Jun 2023 7:00 AM

Pasangan pengantin menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Thailand.

SEPASANG pengantin baru menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas ditipu rakan baik sendiri.

Kedua mereka yang berasal dari Jakarta, Indonesia pada awalnya menyangka mendapat pekerjaan di syarikat pelaburan di Thailand sebelum akhirnya terperangkap di sebuah perkampungan kecil di sana selama berbulan-bulan.

Iyalah sebelum melangsungkan majlis, pengantin lelaki yang dikenali sebagai David kehilangan pekerjaan dan sudah empat bulan menganggur.

Tawaran pekerjaan kontrak yang dijanjikan selama enam bulan di Thailand itu membuatkannya dan isteri bersemangat sehingga bercita-cita membuka kedai kecil di Jakarta.

Tambahan pula ia dikongsikan oleh rakan sekelasnya.

Malah mereka yang bernikah pada 10 Mac 2022, turut diancam penyiksaan oleh sindiket perdagangan manusia di Myanmar.

“Dikatakan bekerja di perusahaan pelaburan tapi saya perlu jual kripto, koin kripto yang pasarannya di Amerika Syarikat.

“Mereka menjanjikan gaji sekitar RM5,284 (Rp17 juta) sebulan dengan semua kemudahan termasuk tempat tinggal.

“Isteri juga dijanjikan pekerjaan di lokasi sama sebagai pelayan pelanggan dengan gaji lebih tinggi iaitu RM7,770 (Rp25 juta), sebulan,” ujarnya.

Menurutnya, semasa pertama kali tiba di Bangkok, mereka diberi layanan istimewa selain bermalam di sebuah hotel.

Namun keesokannya semasa makan di sebuah restoran, mereka dihantar ke Tachileik, Myanmar dan bekerja selama 18 jam setiap hari.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia di Thailand berkata, terdapat enam kes lagi yang masih belum diselesaikan di perkampungan khusus di Chiang Rai.

Seorang mangsa pemerdagangan yang terselamat dan kini berada di Indonesia menceritakan kekejaman yang dialami.

Persoalan ini masih membelenggu pemimpin ASEAN untuk membanteras sindiket pemerdagangan manusia. РTribun News