Select Page

IPTA anjur konsert bakal dikompaun RM25,000

IPTA anjur konsert bakal dikompaun RM25,000

TANGKAP layar daripada video menunjukkan sebahagian daripada penonton konsert di sebuah IPTA di Terengganu, baru-baru ini.- MEDIA SOSIAL
 KUALA NERUS: Sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini bakal dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 atas  kesalahan menganjurkan konsert tanpa permit pada 10 Jun lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, notis kompaun itu akan diserahkan kepada pengurusan IPTA itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihak pengurusan IPTA itu kemudian diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran kompaun dan tindakan seterusnya akan dikenakan jika gagal menjelaskan bayaran kompaun itu.

Katanya, tindakan itu dikenakan mengikut peraturan Undang-undang kecil, Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

“Kita akan menyerahkan notis kompaun bernilai RM25,000 kepada pengurusan universiti kerana mengadakan hiburan tanpa kebenaran,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Rosli memberitahu, hasil siasatan awal mendapati IPTA itu tidak memohon permit  untuk penganjuran konsert tersebut.

Pada 14 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri akan melakukan siasatan berhubung sebuah video konsert di dalam dewan sebuah IPTA di Terengganu yang tular, baru-baru ini.

Satiful berkata, perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah universiti kerana Terengganu mempunyai garis panduan persembahan hiburan yang dibenarkan. – UTUSAN