Select Page

‘Isu Sanusi belum selesai’ – Sultan Selangor

Oleh Rohaniza Idris – Julai 17, 2023 @ 4:16pm
roha@bh.com.my

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi. – Foto FB Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah di negeri itu, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai.

“Perkara ini masih belum selesai,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, baginda menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pertemuan secara berasingan itu membincangkan mengenai kenyataan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam satu ceramah di negeri itu, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai. – Foto FB Selangor Royal Office
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam satu ceramah di negeri itu, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai. – Foto FB Selangor Royal Office
Gambar Sultan Selangor berkenan menerima menghadap kedua-duanya turut dikongsi menerusi akaun berkenaan.

Semalam, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin menerusi warkah kepada baginda yang diutuskan, kelmarin.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak bermakna siasatan polis ke atas lebih 57 laporan yang dibuat ke atas Muhammad Sanusi dihentikan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Menteri Besar Kedah itu tidak akan dihentikan, walaupun beliau sudah membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menerusi catatan di Facebook menyatakan beliau sudah mengutus warkah kepada Sultan Selangor memohon ampun dan maaf atas kenyataannya sebelum ini.

Muhammad Sanusi juga sudah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman, jam 2 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, beliau tetap mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan kefahaman yang salah.

Polis menyiasat Muhammad Sanusi berkaitan 3R (agama, bangsa, institusi diraja) berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu pelbagai pihak tampil membuat laporan polis mengenainya.