Select Page

Kami jadi kawan baik demi anak

Kami jadi kawan baik demi anak, takkan ada ‘plot twist’ lagi – Puteri Sarah

“Kami jadi kawan baik sahaja. Insya-Allah takkan ada ‘plot twist’ lagi.

“Kami capai kata sepakat hendak akhiri kemelut ini secara baik,” kata pelakon Puteri Sarah Liyana mengenai kemelut rumah tangganya dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah berkata, mereka sepakat mengakhiri masalah rumah tangga secara baik demi dua cahaya mata, Syaikhul Islam dan Sumayyah.

“Saya sendiri tidak menyangka ada ‘plot twist’ dalam kehidupan saya apabila Syamsul hendak berbaik, baru-baru ini.

“Kalau boleh hendak kekal begitu kerana kita tidak mahu bergaduh. Kami sudah membuat keputusan hendak berbaik demi anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Puteri Sarah melancarkan buku Puteri Sarah: Terus Melangkah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Katanya, buku terbitan Terbit Sendiri Empire dan Projek Nomad Sdn Bhd ini bakal mendedahkan kisah peribadinya yang belum dikongsikan kepada umum.

“Saya ada maklumkan kepada Syamsul mengenai pelancaran buku ini, tetapi saya beritahu bukan mengenai kehidupan kami, sebaliknya perjalanan hidup saya.

“Ada juga diselitkan mengenai Syamsul, namun semua yang baik-baik sahaja.

“Ini mungkin satu kelebihan yang Allah berikan kepada saya yang mana mendapat keluarga dan mentua sangat baik.

“Saya gembira kerana biarpun Allah ambil satu bahagian, tetapi diberi lain pula sebagai ganti. Jadi, saya tidak terlalu sedih dengan apa yang terjadi kerana Allah menggantikan dengan sesuatu yang berharga,” katanya.