Select Page

Kerajaan Kelantan gagal sediakan pekerjaan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa – Julai 24, 2023 @ 12:06am
bhnews@bh.com.my

MACHANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kelantan hanya menyumbang 1.8 peratus kepada pembangunan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Kelantan gagal menyediakan segala kemudahan termasuk peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana ramai anak Kelantan yang berjaya, namun terpaksa mencipta peluang di negeri lain.

“Kerajaan Kelantan tidak dapat memajukan ekonomi, sekali gus menutup peluang kerja sehingga memaksa rakyat memilih mencari rezeki di negeri luar.

“Jika negeri lain boleh mencapai kemajuan, mengapa tidak di Kelantan? Banyak pelaburan boleh dibawa ke negeri ini jika ada usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya berucap pada Program Jelajah Perpaduan MADANI di Bukit Tiu, di sini, malam ini.

Hadir sama, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

Ahmad Zahid berkata, PH dan BN tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ tetapi jika Kerajaan Perpaduan yang memerintah Kelantan, negeri itu akan dimajukan.

“Justeru, BN di Kelantan sendiri perlu bekerja keras untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Kita juga mohon rakyat Kelantan memberi peluang untuk kami melunaskan misi memajukan negeri ini.

“Jika BN menang namun tidak berjaya dalam tempoh lima tahun, tidak mengapa, rakyat boleh mengubahnya semula tetapi kami berjanji memberi komitmen yang tinggi untuk Kelantan,” katanya

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kelantan di Machang. – NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR