Select Page

Kerajaan tak akan campur tangan kejatuhan ringgit, pasaran modal

Kerajaan tak akan campur tangan kejatuhan ringgit, pasaran modal

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

 

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk campur tangan segera dalam krisis kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini, demikian menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau menegaskan, tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada masa ini.

Menurutnya, kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar, dengan dana itu sepatutnya disalurkan kepada keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan akan menunggu impak positif yang akan terhasil menerusi penstrukturan semula ekonomi termasuk langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Tiada perbincangan dalam kerajaan untuk campur tangan berikutan kejatuhan pasaran ekuiti dan ringgit.

“Kerajaan akan lihat perkembangan dan hasil pelaksanaan penstrukturan ekonomi dan subsidi bersasar. Selepas itu, kita akan lihat konsolidasi fiskal akan berlaku untuk menyokong pasaran modal dan ringgit.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini, hari ini.

Rafizi berkata, kerajaan harus membelanjakan dana yang ada dengan bijak dan sepatutnya untuk impak jangka panjang untuk membina kapasiti ekonomi negara.

“Pasaran saham sangat bergantung kepada pembaharuan ekonomi. Ia akan mengambil sedikit masa kepada semua dan pasaran untuk melihat impaknya.

“Kita memahami ada sedikit jurang pemahaman pasaran ke atas apa yang sedang dilaksanakan kerajaan (penstrukturan ekonomi) tetapi selepas ia difahami dan dibuktikan dengan data defisit yang lebih baik.

“Kerajaan mahu memberi tumpuan kepada struktur ekonomi berbanding campur tangan terus ke atas pergerakan pasaran dan ringgit,” katanya.