Select Page

Kuarters, rumah ketua balai polis atas tanah gereja di Kamunting akan diroboh

Kuarters, rumah ketua balai polis atas tanah gereja di Kamunting akan diroboh

Amirrul Rabbani
Kuarters, rumah ketua balai polis atas tanah gereja di Kamunting akan diroboh
Mohd Yusri berkata, perkara itu dikenal pasti berdasarkan laporan pengesahan status tanah dan carian yang dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Perak. – Gambar fail
IPOH: Tanah rizab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lot 784 di Kamunting, Taiping telah dimiliki The Titular Roman Catholic Bishop of Melaka sejak tahun 1883, kata Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Katanya perkara itu dikenal pasti berdasarkan kepada laporan pengesahan status tanah dan carian yang dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Perak pada 13 Mei tahun lalu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak telah menggunakan 0.55 hektar di lot tanah 784 ini untuk tujuan pembinaan kuarters dan kediaman ketua polis balai sejak tahun 1951.

“Kini, bangunan kuarters dan kediaman ketua polis balai tersebut telah pun dikosongkan serta dalam tindakan untuk dibuat pelupusan atau perobohan berdasarkan laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media pada Khamis yang melaporkan Pengarah Pendakwaan Perak memutuskan kes penukaran hak milik tanah rizab PDRM di Kamunting kepada sebuah organisasi gereja di Melaka, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ia susulan laporan polis oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berhubung kes tukar milik tanah lot 784 Berek Kelamin dan Rumah Ketua Balai berpangkat Sarjan di Kamunting, Taiping, dibuat tanpa pengetahuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata status NFA itu diputuskan berikutan siasatan polis tidak dapat membuktikan kewujudan unsur penipuan dalam kes tukar milik tanah rizab PDRM berkenaan.
Saifuddin dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) di Dewan Rakyat, yang mahu tahu status siasatan polis terhadap sebidang tanah rizab PDRM di Kamunting yang sudah ditukar milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka tanpa pengetahuan.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata sebelum ini pihaknya telah menerima pemakluman daripada The Titular Roman Catholic Bishop of Melaka dengan menyatakan bahawa lot tanah tersebut adalah hak milik mereka, pada 15 April 2021.
Katanya susulan itu satu laporan polis telah dibuat dan siasatan dijalankan sejurus menerima makluman berkenaan serta telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak sebelum ini.
“Hasil siasatan mendapati kes ini telah diklasifikasikan sebagai NFA memandangkan tiada unsur penipuan dapat dibuktikan dalam siasatan,” jelasnya lagi.