Select Page

Najwan mohon maaf hantar komen perkauman

Oleh Fahmy A Rosli – Julai 15, 2023 @ 10:25am
fahmy.azril@bh.com.my
Mohd Najwan Halimi. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari PKR memohon maaf selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon parti itu.

Permohonan maaf itu dibuat susulan tangkap layar komen kumpulan WhatsApp PKR dibuat penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, mula tersebar di ruang media sosial semalam.

Menerusi tangkap layar itu, pemimpin PKR itu menulis ‘parti India estet’ sebagai reaksi balas terhadap laporan berita pengumuman PSM yang mencalonkan aktivis sosial, M Sivaranjani untuk DUN Meru.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tulisan tersebut dan ia adalah tanggapan dangkal saya terhadap PSM yang selama ini saya kenali sebagai sebuah parti politik yang paling ke hadapan dalam menjuarai isu-isu masyarakat India khususnya yang tinggal dan bekerja di estet.

“Kedangkalan ini saya akui adalah dari kelemahan dan kekurangan saya yang tidak mengenali PSM secara dekat dan mendalam.

“Namun demikian, perlu saya tegaskan bahawa saya bukanlah seorang yang bersifat perkauman dan memiliki prejudis terhadap mana-mana kaum termasuk kaum India. Sebagai pemimpin, saya sentiasa menjaga kebajikan serta mengambil pendekatan dengan bersikap adil dan mesra terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum dan agama,” kata Mohd Najwan menerusi kenyataan di Twitternya semalam.

Mohd Najwan berkata, beliau turut menghubungi Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan untuk memohon maaf kepada pimpinan parti itu serta ahlinya yang tersinggung.

Beliau berkata, mungkin ada yang salah faham terhadap kenyataan yang dibuatnya sambil berjanji akan berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini.

“Justeru, saya sekali memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang kenyataan yang dikeluarkan di masa akan datang.

“Saya juga berharap isu ini dapat dinoktahkan secara baik dan memberi jaminan ia tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” katanya.