Select Page

Patung beruang muncul semula selepas 6 tahun ditimbus, ‘balik’ rumah nenek

Patung beruang muncul semula selepas 6 tahun ditimbus, ‘balik’ rumah nenek… Ustaz pesan jangan bakar – “Jin makin kuat dengan api”

Sharil membuang patung tersebut ke dalam sungai seperti disuruh ustaz.
ANAK patung sering menjadi pilihan ibu bapa untuk dijadikan mainan dalam merangsang minda anak-anak selain ada yang hanya dibuat hiasan kerana kecomelannya.

Namun di sebalik kecomelan itu, banyak juga kisah-kisah misteri menghantui orang ramai dapat kita saksikan di media sosial.

Terpalit dengan perkara sama, Sharil dan keluarganya diganggu unsur mistik daripada patung tidak bertuan yang dijumpai di rumah pusaka peninggalan arwah neneknya.

Kisahnya bermula sewaktu dia pulang ke kampung setelah seminggu neneknya meninggal dunia.

“Rumah nenek ni jadi tempat persinggahan kalau anak dan cucu-cucu balik kampung. Selepas seminggu nenek dah tak ada, kami sekeluarga balik kampung. Masa tu memang ramai saudara mara ada.

“Ada satu bilik tu banyak lagi barang-barang tak dikemas termasuklah patung tu. Saya pun tidurlah dalam bilik tu. Masa tidur tu saya mula mimpi yang bukan-bukan.

“Patung tu ada kacau-kacau saya dalam mimpi. Apabila tersedar, saya perasan ia sedang pandang saya tengah tidur. Dia macam bergerak… tapi saya endahkan dan anggap semua tu khayalan saja,” ujarnya.

Gara-gara takut kejadian sama berulang, Sharil mengamalkan petua dengan mencuci kaki sebelum tidur pada malam keesokan.

Bagaimanapun amalan itu nyata tidak membantu kerana patung beruang tersebut tetap mengganggu Shahril pada malam berikutnya.

Buntu dengan apa yang terjadi, dia akhirnya menanam patung bersaiz kanak-kanak itu di belakang rumah.

Sebagaimana dikongsikan Sharil di TikTok, difahamkan patung beruang putih itu ditanam di belakang kebun rumah neneknya pada tahun 2017.

“Saya ambil patung itu dan tanam dekat kebun. Lepas tanam tu, esoknya saya balik semula ke rumah. Selepas kejadian tu ada juga makcik dan pakcik datang ke rumah ni dan tiada apa yang berlaku,” katanya lagi.

Ustaz suruh buang saja ke dalam sungai, saya pun buat apa yang disuruh.

SHARIL

Kini selepas enam tahun, Sharil sama sekali tidak pernah menyangka kejadian misteri yang dialaminya dulu membabitkan patung berkenaan kembali berulang.

“Minggu lalu pakcik ada ajak saya balik kampung ke untuk bersihkan rumah nenek. Masa tengah kemas tu saya buka semula bilik ni, saya nampak patung tu ada lagi dekat situ.

“Saya pelikl sebab seingat saya memang dah tanam. Memang tak mungkinlah benda dah ditanam muncul balik. Saya malas fikir benda tahyul jadi saya anggap mungkin patung serupa dibawa oleh saudara.

“Tapi rupa-rupanya patung tu dijumpai selepas digali orang buat projek dan ia muncul kembali ganggu keluarga kami. Enam tahun dalam tanah tapi warna putih patung tu tetap tak berubah,” katanya.

Ruangan bilik di mana patung tersebut disimpan.

Atas nasihat seorang ustaz, Sharil tidak membakar patung tersebut tetapi memilih untuk membuangnya ke dalam sungai.

Sebagaimana dikongsikan dalam rakaman video di TikTok, Sharil dilihat mengikat patung misteri itu bersama dengan pemberat (bata) sebelum dicampak ke dalam sungai.

“Ustaz cakap jin lagi kuat apabila dengan api. Dia suruh buang saja ke dalam sungai. Jadi saya pun buat apa disuruh.

“Dia lebih arif bab ni. Pandangan orang berbeza. Saya buat saja apa yang terbaik,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar!