Select Page

Penunggang motosikal selisih, punca pemilik Ducati maut diburu

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di susur keluar Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini, hari ini.

AMPANG JAYA – Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang memandu secara arah bertentangan dipercayai punca kemalangan pemilik Ducati di Kilometer 22.2 susur Hulu Klang, Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 1.10 petang tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal jenis Ducati Panigale yang ditunggangi oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an sedang melalui jalan selekoh di lokasi kejadian.

“Secara tiba-tiba, di hadapan mangsa didatangi sebuah motosikal dari arah bertentang di bahu sebelah kanan jalan. Justeru, penunggang motosikal Ducati yang cuba untuk mengelak kenderaan dari arah bertentangan berkenaan terus melanggar penghadang sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azam, kesan daripada perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter.

Tambah beliau, motosikal yang ditunggang mangsa terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART) Sungai Klang.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dikenal pasti dan akan diteliti dengan pihak Lebuh Raya SUKE dan saksi bebas kejadian sedang dikesan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Azam memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian penunggang motosikal yang tidak dikenal pasti memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookTwitterInstagramYoutube, & TikTok