Select Page

PM umum beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam seminggu dua lagi

Bernama
Julai 23, 2023 19:36 MYT

PM umum beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam seminggu dua lagi
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu depan. -Bernama

KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu depan.

“Saya fikir pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Pada 13 Julai lepas, Perdana Menteri berkata skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata ganjaran munasabah dan adil akan diberikan kepada penjawat awam di negara ini berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama.

“Pelarasan ini dilakukan untuk meningkatkan skim gaji guru dan penjawat awam yang lain sekali gus bagi mengurangkan jurang perbezaan skim gaji.
“Ini bukan sebab nak pilihan raya negeri tetapi saya mahu dikenali sebagai Anwar yang prihatin,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau akan terus memerangi rasuah dan menghentikan amalan mencuri harta rakyat.

“Saya akan terus cakap mengenai tatakelola dan rasuah, saya akan perang habis-habisan. Insya-Allah, saya akan lakukannya sekiranya Allah beri kekuatan kepada saya untuk selamatkan negara,” katanya.
— BERNAMA