Select Page

‘Potong 20 peratus subsidi petrol, salurkan kepada dana pencen KWSP’ – Penganalisis

Irfan Faruqi
'Potong 20 peratus subsidi petrol, salurkan kepada dana pencen KWSP' - Penganalisis
Kidd berkata langkah ini memberi manfaat kewangan lebih mampan kepada pencarum – Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Subsidi petrol sejumlah 20 peratus wajar dipertimbangkan untuk dimansuhkan dan disalurkan kepada dana pencen kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Penganalisis Kanan berkaitan Dasar Sosial Development Pathways, Stephen Kidd berkata langkah ini boleh menggalakkan pencarum untuk meningkatkan simpanan mereka.
“Memansuhkan 20 peratus daripada subsidi petrol, mungkin akan menyebabkan sedikit kenaikan harga minyak. Ini juga sebenarnya baik dalam konteks perubahan iklim.
“Penjimatan tersebut, kemudian diberikan kepada individu 65 tahun ke atas dalam bentuk pencen yang boleh diagihkan dalam tempoh enam bulan atau setahun.
“Orang awam mungkin akan katakan potongan 20 peratus subsidi itu berbaloi kerana semua orang akan mendapat manfaat termasuk untuk mereka yang menjaga warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Cadangan tersebut menurut Kidd adalah bagi membolehkan satu mekanisme pemberian pencen kepada pencarum KWSP, yang mana sistem tersebut belum dilaksanakan.
Beliau berpendirian langkah ini memberi manfaat kewangan lebih mampan kepada pencarum dan sudahpun dilaksanakan di beberapa negara.
“Ia bukanlah suatu yang sukar untuk dilaksanakan, memandangkan negara-negara lain boleh membayar pencen dalam untuk tempoh beberapa bulan.
“Malaysia mempunyai pilihan untuk melaksanakan kaedah tersebut dengan manfaat dalam konteks perubahan iklim dan saya berpandangan siapa yang menggunakan kaedah ini boleh menang Pilihan Raya akan datang.
“Kita perlu lihat kaedah lain yang mungkin sedikit radikal untuk menangani isu ini,” tambahnya lagi.