Select Page

Rehda komited pastikan penawaran rumah mampu milik mencukupi

Rehda komited pastikan penawaran rumah mampu milik mencukupi

Bernama
Rehda komited pastikan penawaran rumah mampu milik mencukupi
Bagi menjadikan rumah lebih mampu milik untuk rakyat, Tong (gambar) berkata kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk pelaksanaan rumah mampu milik. – Foto Bukit Kiara Properties
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia komited terhadap tanggungjawabnya dalam membantu kerajaan memastikan rumah mampu milik yang mencukupi untuk semua rakyat Malaysia.
Presidennya, Datuk NK Tong berkata pemaju kini menghadapi pelbagai cabaran berikutan keperluan rumah mampu milik Malaysia, yang perlu dipenuhi untuk membina pembangunan kediaman di pasaran terbuka.
Katanya kebanyakan kebimbangan ini timbul daripada dasar subsidi silang yang perlu dilaksanakan oleh pemaju, iaitu harga hartanah di pasaran terbuka perlu dinaikkan supaya pemaju dapat mewujudkan perumahan yang murah, yang sering dijual di bawah kos pembinaan.

Bagi menjadikan rumah lebih mampu milik untuk rakyat, Tong berkata kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk pelaksanaan rumah mampu milik, seperti lebih 50 tahun yang lepas dan seperti di kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Ini akan menghapuskan amalan semasa untuk subsidi silang yang menaikkan kos rumah harga biasa, menjadikannya lebih mahal bagi kumpulan pendapatan M40 untuk membeli rumah,” katanya dalam kenyataan susulan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu untuk mengkaji semula dasar semasa berkaitan rumah mampu milik.
Bagaimanapun, Rehda menyokong saranan Perdana Menteri supaya dasar semasa untuk rumah mampu milik dikaji semula.
BACA: KPKT teliti syarat tetapkan pemaju perumahan sedia rumah mampu milik
Tong berkata kenaikan harga telah menyebabkan rumah di pasaran terbuka, yang disasarkan untuk M40, menjadi tidak mampu dimiliki, justeru, pembangunan yang gagal menarik pembeli juga mempunyai risiko yang tinggi untuk jadi lewat, sakit atau terbiar.
“Situasi ini berlaku terutamanya untuk projek yang dibangunkan oleh pemaju perusahaan kecil dan sederhana tanpa mekanisme fiskal untuk melindungi mereka daripada cabaran kewangan, antara sebab Rehda meminta kerajaan untuk mengambil semula tanggungjawab membina rumah mampu milik,” katanya.
Tong turut menekankan satu lagi kesan yang tidak dijangka daripada rumah harga biasa yang tinggi disebabkan subsidi silang ialah peningkatan hartanah yang telah siap tetapi tidak terjual, sering dirujuk secara salah sebagai ‘overhang’.
“Kami berterima kasih atas inisiatif yang diambil oleh kerajaan setakat ini untuk mengurangkan kebimbangan dalam industri perumahan dan hartanah seperti memperkenalkan ‘Skim Simen Rahmah’ baru-baru ini untuk menangani kenaikan harga bahan binaan.
“Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pemulihan dan kemampanan industri untuk manfaat pemilik rumah pada masa depan,” katanya.
— BERNAMA