Select Page

Sanusi nafi gagal dihubungi polis sehingga terpaksa ditahan jam 3 pagi

Oleh Noorazura Abdul Rahman – Julai 19, 2023 @ 3:38pm
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa dirinya tidak dapat dihubungi polis kelmarin, sebelum beliau ditahan pada jam 2.30 pagi di Mont Kiara, semalam.

Katanya, beliau sempat berkomunikasi menerusi WhatsApp bersama seorang pegawai kanan Bukit Aman dari jam 10 malam sehingga 12.30 tengah malam semalam, untuk berunding agar beliau tidak ditahan kerana sedia memberi kerjasama penuh untuk hadir ke Mahkamah Selayang pada jam 9 pagi.

“Saya nak betulkan sidang media Ketua Polis Negara, dengan penuh rasa hormat saya kepada Tan Sri, sidang media semalam tak betul, saya ada komunikasi dengan pegawai Bukit Aman supaya tidak ditangkap.

“Saya tahu komplot ini nak tangkap dulu kerana kerana tangkapan itu bagi (memberi) satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau tangkap depan orang ramai lagi dia syok, jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah.

“Notis ke mahkamah itu saya dapat daripada Berita Harian Online jam 6 lebih. Saya kata saya tak ada notis apa, depa register (daftar) kes secara online (dalam talian) (mungkin) jam 5) lebih lepas waktu pejabat, nampak tak komplot itu? Jarang orang lepas waktu pejabat fail kes, lepas itu saya tak ada (terima) notis apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hadir pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun mengakui pada awalnya ada menerima panggilan daripada pihak polis termasuk panggilan kepada pegawainya.

Bagaimanapun, ketika itu beliau sedang bermesyuarat dan menghubungi semula individu itu menerusi WhatsApp yang memaklumkan beliau adalah pegawai Bukit Aman.

“Saya ada print skrin (tangkap layar), saya print semua itu. Dia (pegawai) kata nak ambil keterangan, nak sambung lagi keterangan. Saya kata keterangan apa lagi? Dia kata nak sambung lagi, saya tanya direct (terus) nak buat tangkapankah? Dia kata nak ambil keterangan.

“Saya kata kalau nak tangkap, beritahu betul-betul sebab saya seboleh-bolehnya tak mahu ditangkap. Pasal saya warganegara yang baik, saya sentiasa beri kerjasama kepada polis. Saya tak pernah lari sekali pun.

“Jadi tak, tak masuk akal nak tangkap saya. Sampai saya habis mesyuarat lebih kurang pukul 11.40 malam saya kata kena balik (rehat). Saya dari pagi ada tiga mesyuarat, dah tak mampu kena balik mandi apa semua dulu,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pegawai terbabit memintanya hadir ke Balai Polis Hartamas segera untuk diambil keterangan.

“Saya kata nak sambung keterangan mana-mana balai boleh pergi, ini dia spesifik (Balai Polis Hartamas), kemudian dia sah untuk tangkapan, saya kata kalau nak tangkap, saya tak mahu pergi.

“Saya bagi komitmen 100 peratus jam 9 pagi saya akan berada di Mahkamah Selayang. Tak perlu tangkap saya, saya nak lari mana, saya Menteri Besar. Dia tetap suruh saya hadir, saya kata tak apa, saya dah habis, nak tidur, nak rehat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, selepas tamat perbualan WhatsApp itu, beliau menghubungi seorang pegawai kanan polis agar tidak melakukan tangkapan terhadapnya, bagaimanapun pada jam 2.30 pagi sekumpulan anggota dan pegawai polis datang menahannya.

“Saya ucap terima kasih kepada anggota polis yang sangat profesional, saya tak salahkan mereka. Mereka jalankan tugas berdasarkan arahan.

“Tahap profesionalisme yang tinggi ditunjukkan anggota polis Bukit Aman, mereka sopan dan saya tidak dikasari. Saya diberi peluang untuk mandi, gosok gigi dan minum kopi.

“Tapi saya kata jangan gari, kalau gari ini penjenayah sangat, jadi dia tak gari. Saya dibawa ke Balai Polis Gombak, tak masuk lokap, diletak dalam bilik mesyuarat.

“Saya diambil keterangan satu kes lain, empat soalan saja,” katanya.

Pengerusi PN Kedah itu berkata, empat soalan itu adalah berkaitan kenyataannya dalam program ‘Keluar Sekejap’ bahawa orang bukan Islam lebih ramai mengamalkan rasuah daripada Muslim.

Katanya, beliau memperoleh maklumat dan fakta itu daripada seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Empat soalan itu saja, jadi saya duduk situ (balai) sampai jam 8.30 pagi, lepas itu terus ke mahkamah. Tapi mereka (polis) sangat profesional, saya nampak mereka serba salah. Mereka bekerja atas arahan, saya pun kasihan mereka.

“Jadi dakwaan Ketua Polis Negara terutama sekali dakwaan saya reject call (menolak panggilan) tak mahu bekerjasama sama sekali tidak benar,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berhadapan satu lagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui media selepas majlis Sambutan Maal Hijrah di Alor Setar, hari ini. – NSTP/Syaharim Abidin
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui media selepas majlis Sambutan Maal Hijrah di Alor Setar, hari ini. – NSTP/Syaharim Abidin