Select Page

“Saya tidak berdendam dengan Malaysia, ia merupakan budaya biasa bagi pelawak untuk memanaskan penonton”.

Saya tidak berdendam dengan Malaysia – Jocelyn Chia

Tangkap layar persembahan komedi berdiri Jocelyn Chia yang mendapat kecaman pengguna media sosial.

PETALING JAYA – “Saya tidak berdendam dengan Malaysia, ia merupakan budaya biasa bagi pelawak untuk memanaskan penonton”.

Jelas pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia yang baru-baru ini mencipta kontroversi apabila membuat beberapa jenaka sensitif berkenaan negara ini.

Salah satu jenakanya adalah mengenai kehilangan pesawat Malaysia MH370, yang didakwa ‘tidak mendarat’ dengan mimik muka mengejek.

Memetik laporan CNN, Jocelyn berkata, rutin lawaknya itu telah dilakukan lebih daripada seratus kali selama satu tahun setengah tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, apabila segmen tertentu dikeluarkan dan dipendekkan menjadi klip video pendek untuk dimuat naik dalam media sosial, beberapa konteks penting telah hilang.

“Saya memang melakukan setiap jenaka saya dengan berhati-hati. Saya berpegang teguh dengan lawak saya secara keseluruhan apabila ia ditonton di dalam kelab komedi.

Jocelyn juga berkata, rakyat Singapura telah lama mempunyai saingan mesra dengan Malaysia dan itulah yang menjadi dasar jenaka itu.

“Saya tidak berdendam terhadap Malaysia. Ia juga merupakan budaya biasa bagi pelawak untuk ‘memanaskan’ penonton secara langsung.

“Ahli penonton Malaysia sering datang pada saya selepas selesai melakukan persembahan untuk memberitahu mereka menyukai pertunjukan saya,” ujarnya.

Tambahnya, ada juga ahli penonton Malaysia jelas menunjukkan mereka tidak tersinggung ketika datang kepadanya selepas melakukan persembahan.

Terdahulu, kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas lawak melampau yang dibuat oleh Jocelyn.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, beliau amat terkejut dengan kenyataan menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam satu persembahan komedi berdiri baru-baru ini.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau mengguris hati perasaan orang lain.

“Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookTwitterInstagramYoutube, & TikTok