Select Page

‘Tak masuk akal, pengawal peribadi Sanusi juga anggota polis’ – Hamzah

‘Tak masuk akal, pengawal peribadi Sanusi juga anggota polis’ – Hamzah

Oleh Ahmad Suhael Adnan – Julai 19, 2023 @ 11:06am
ahmad.suhael@bh.com.my

Ahli Parlimen Larut yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan polis menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi, atas alasan mereka tidak dapat menghubungi ahli politik itu dan pegawainya.

Menurut Hamzah, alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain itu agak ‘pelik dan tidak masuk akal’ kerana pihak polis sendiri ada meletakkan seorang anggotanya bersama Muhammad Sanusi untuk bertugas sebagai pengawal peribadi kepada Menteri Besar Kedah.

Katanya, pihak berkuasa itu boleh sahaja menghubungi pengawal peribadi Muhammad Sanusi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ yang mahukan Muhammad Sanusi ditangkap pada awal pagi bertujuan memalukan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

“Yang saya rasa amat pelik sekali adalah kerana sebagai Menteri Besar, beliau mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga datang daripada PDRM.

“Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali bila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Muhammad Sanusi?.

“Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang (anggota) yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau.

“(Polis) boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Muhammad Sanusi pada bila-bila masa.

“Mungkin ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Muhammad Sanusi ditangkap juga pada malam semalam kerana mereka nak memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan PN,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, tengah malam tadi.

Semalam, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Muhammad Sanusi dibuat pada jam 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang kelmarin untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.

Selain gagal dihubungi, Muhammad Sanusi juga gagal dikesan Polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menurut Razarudin, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi untuk proses pemakluman, namun turut tidak berjawab.

Muhammad Sanusi ditahan pada jam 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, di sini, pagi semalam oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pertuduhan dua kes di bawah Akta Hasutan. Muhammad Sanusi juga bakal berhadapan satu lagi kes yang dilaporkan pada 14 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Hamzah berpandangan polis tidak wajar menahan Muhammad Sanusi pada jam 3 pagi kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sudah memberi kerjasama pada polis dan bersetuju untuk ke mahkamah.

Pada masa sama, Ketua Pembangkang itu mengingatkan semua pihak bahawa pernah berlaku kes seorang ‘pemimpin besar negara’ disabit kesalahan salah guna kuasa dan dipenjarakan kerana mengarahkan polis untuk kepentingan peribadi.

“Janganlah sekali lagi perkara ini berlaku. Salah guna kuasa ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara.

“Saya tidak menuduh, tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku, dan tak mustahil ianya boleh berlaku sekali lagi,” katanya, yang meminta semua penyokong PN dan rakyat Kedah untuk bertenang.