Select Page

Tegakkan Islam dengan ilmu, bukan jeritan – Anwar

Oleh Irwan Shafrizan Ismail – Julai 22, 2023 @ 10:07pm
bhnews@bh.com.my

Kerajaan Perpaduan sentiasa membawa ulama-ulama besar ke negara ini bagi mempersiapkan umat Islam dengan ilmu dan akidah. – Foto hiasan
Kerajaan Perpaduan sentiasa membawa ulama-ulama besar ke negara ini bagi mempersiapkan umat Islam dengan ilmu dan akidah. – Foto hiasan
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syiar Islam boleh ditegakkan menerusi persiapan ilmu dan amal, bukan semata-mata dengan semangat jeritan.

Perdana Menteri berkata, persiapan ilmu juga penting bagi mengelak ketegangan panas dan ‘tajam’ dalam masyarakat.

Beliau turut mengingatkan tradisi Islam di bawah junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu lengkap dengan persiapan pengetahuan dan pembelajaran, sebelum meneruskan agenda tasawwur (pandangan atau gambaran) Islam.

“Ini yang menjadi masalah di dunia Islam. Tiada persediaan bagi persiapan ilmu. Maksudnya dalam (tangani) rasuah itu dengan persiapan kekuatan akidah, kesedaran Islam, tasawwur yang menyeluruh dan ilmu.

“Itu sebabnya Kerajaan Perpaduan sentiasa membawa ulama-ulama besar ke negara ini bagi mempersiapkan umat Islam dengan ilmu dan akidah.

“Sebelum ini, kita bawa dua tokoh ulama besar dunia Islam. Mantan Mufti Agung Mesir, Syeikh Prof Dr Ali Jumuah Al Azhari dan Pengasas serta Pengetua Dar Al Mustofa (Tarim, Yaman), Habib Umar Muhammad bin Salim Ben Hafidz.

“Malah, hari ini kita bawa pula Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad dan Penasihat Agama Presiden Mesir, Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari, untuk mempertahankan bahawa Islam itu boleh ditegakkan dengan persiapan ilmu dan amal bukan semata-mata dengan semangat jeritan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, usaha menegakkan syiar Islam boleh menjadi tempang, jika semata-mata bersandarkan semangat laungan atau jeritan.

“Sebab itu kadang-kadang kalau ikut semangat sahaja, kita jadi tempang. Prinsip nilai dan akhlak itu diketepikan dan menghukum dengan mudah dan sewenang-wenang, sebelum mengetahui.

“Jadi maknanya kalau dalam Malaysia Madani ini, takpalah apa pun tafsiran orang di luar, kita masih tekankan soal pendidikan, kesedaran Islam. Kita guna dana kerajaan untuk sebar risalah penting berkaitan Islam,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, beliau turut kagum dengan usaha dibawa Sheikh Abu Bakar yang mewujudkan sebuah institusi Islam swasta terbesar di dunia Jamia Markaz di Kerala, India yang lengkap dengan masjid, hospital, hotel dan menawarkan pelbagai peringkat pengajian agama.

“Ratusan anak yatim diambil tiap tahun. Saya tidak pernah nampak kesungguhan ulama dan komuniti dalam usaha ini sebab itu beliau (Sheikh Abu Bakar) sangat luar biasa dalam usaha ini,” katanya.

Selain majlis syarahan ilmu dan doa, program sama turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Universiti Jamia Markaz, India.

Turut berlangsung majlis penyerahan surat lantikan Profesor Adjung, Institult Peradaban Islam Antarabangsa (UCYP) dan Felo Kehormat Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie kepada Sheikh Abu Bakar.

Lebih 3,000 tetamu hadir program itu terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, ilmuan agama, cendekiawan Islam dan orang awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto BH/ASYRAF HAMZAH