Select Page

TERDAPAT SEJARAH LAYARI LAMAN SESAWANG LUC4H DALAM TELEFON BIMBIT DIANALISIS POLIS

Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew hari ini menyambung keterangan dengan memberitahu mahkamah bahawa terdapat sejarah melayari laman sesawang lucah pada telefon bimbit yang dianalisisnya.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 43, berkata laman sesawang itu dilayari daripada aplikasi Google dan hasil analisis itu telah dimasukkan dalam cakera video digital boleh rekod (DVD-R) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Hasil analisis mendapati terkandung sejarah melayari laman sesawang disyaki berunsur lucah daripada aplikasi Google dan saya pohon pegawai penyiasat rujuk DVD-R yang saya masukkan hasil analisis tersebut.

“Daripada kesemua tangkap layar yang saya buat, ada beberapa laman sesawang disyaki berunsur lucah dan juga bukan berunsur lucah,” katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan laman sesawang yang dilayari itu adalah laman sesawang yang mempunyai unsur lucah, beliau telah membuka beberapa laman sesawang dengan merujuk kepada hasil analisis dan mendapati ia sememangnya laman sesawang berunsur lucah.

Latifah berkata antara laman sesawang yang turut dilayari termasuk wikipedia berkaitan “gangguan seksual”, “Undang-undang gangguan seksual di Malaysia”, “gurau lucah berisiko disumbat penjara” dan “Rang Undang-undang kesalahan-kesalahan seksual, hukuman seksual”.

Nor Azizah: Adakah metadata yang kamu nyatakan ini juga dapat dilihat di dalam tangkap layar yang ada di dalam hasil analisis ini ?

Latifah: Ya, untuk gambar pertama, ini adalah rumusan kesemua tangkap layar yang dibuat daripada kandungan sejarah melayari laman sesawang di dalam barang kes (telefon bimbit).

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani hari ini dijalankan tanpa kehadiran tertuduh yang mendapat kebenaran mahkamah. Peguam yang mewakili Ebit iaitu Ram Singh memaklumkan bahawa Ebit sedang menunaikan ibadah haji di Makkah.

Sementara itu dalam pemeriksaan utama Nor Azizah pagi tadi, Latifah memaklumkan satu lagi telefon yang dianalisisnya mengandungi sebanyak 219 tangkap layar perbualan daripada aplikasi WhatsApp bermula pada 4 Mac 2021.

Beliau berkata perbualan tangkap layar yang diperoleh daripada telefon bimbit dalam kes itu telah disimpan dalam cakera padat (CD).

“Gambar satu (tangkap layar) menunjukkan paparan berkaitan nombor telefon milik penghantar mesej.    Dalam paparan itu menunjukkan tarikh bermulanya perbualan mesej pada 4 Mac 2021 yang berikutnya (dalam bentuk tangkap layar) adalah isi perbualan,” katanya.

Latifah berkata daripada beberapa gambar tangkap layar itu juga ada menunjukkan panggilan suara yang tidak dijawab daripada penghantar yang dibuat pada  6.10 petang tetapi tarikh tidak dinyatakan semasa  prosiding.

Terdapat juga panggilan suara yang tidak dijawab daripada penghantar pada  15 Mac dan 16 Mac 2021.

Beliau berkata pada tarikh 17 Mac 2021, satu lagi tangkap layar menunjukkan cubaan semula yang cuba dihantar daripada telefon bimbit penerima kepada pengirim tetapi mesej berkenaan tidak disampaikan.

Ebit, 37,  berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung esok.–AlHijrah Online