Select Page

Umur 75 Tahun Datang Mintak Kerja Sebab 11 Anak Taknak Tanggung

Cukup meruntun hati apabila melihat warga emas yang mungkin sebaya dengan usia ibu bapa atau datuk dan nenek kita masih lagi mencari kerja demi menyara hidup.

Pada fikiran kita, ketika usia mereka sebegini sepatutnya diisi dengan beristirehat di rumah sahaja atau penuhkan masa yang ada dengan amal ibadah.

Namun, kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter ini telah menyentuh hati netizen tentang seorang pakcik tua berusia 75 tahun datang mencari kerja dengannya.

Sebagai seorang majikan, dia bersetuju menawarkan pekerjaan kepada pakcik tersebut. Selagi ada keinginan untuk bekerja, dia selalu memberikan ruang dan peluang.

Anak ada 11 orang tapi…

Menurutnya, pakcik tersebut mempunyai 11 orang anak dari isteri pertamanya dan semuanya sudah membina keluarga sendiri.

Pakcik itu mencari kerja untuk menampung kehidupan isteri kedua dan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Difahamkan pakcik telah berkahwin kali kedua selepas isteri pertamanya meninggal.

Kata pengguna Twitter itu, dia kesal dengan sikap anak-anak yang ramai tetapi tidak dapat kembali berbakti kepada bapa mereka sendiri.

“Bapa sorang boleh bagi makan dekat anak 11 orang. Anak 11 orang tak boleh hulur dekat bapa dia sorang sikit. Pakcik tu tahan sebak masa dia cerita,” tulisnya.

Meskipun tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh anak-anak pakcik itu, baginya seorang bapa harus memperlihatkan kekuatan hati dan jiwa.

“Kita kalau kena palau esok walaupun dengan anak sendiri, kita kena kekal steady dan terus berdiri atas dua kaki.

“Mulut anak pun kita boleh suap, inikan pula mulut sendiri.”

Walaupun ramai yang bersimpati dengan apa yang dilalui pakcik tersebut, tetapi ada juga yang mendakwa kejadian begini pasti ada kisah di sebaliknya.